Tuesday, August 3, 2010

MINGGU 4 : JURNAL REFLEKSI

MINGGU 4 : JURNAL REFLEKSI

Assalammualaikum w.b.t & salam sejahtera saya ucapkan.

Sekarang sudahpun masuk ke minggu yang keempat. Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya dapat saya terus mengikuti kelas Muzik Tradisional Malaysia (SMP2252) ini tanpa sebarang kekangan.

Seperti biasa, kelas berjalan seperti minggu-minggu yang sebelumnya. Iaitu bermula pada pukul 11 pagi dan berakhir pada pukul 1 t/hari. Tetapi memandangkan ada beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, P&P terpaksa bermula lewat 30 minit daripada biasa. Hal ini kerana Encik Amran terpaksa mengambil masa sedikit untuk membahagikan kumpulan untuk pembentangan serta tajuk-tajuk yang telah disediakan. Selain itu, ada juga pelajar yang terpaksa mengisi borang soal selidik yang belum diisi.

Tajuk kuliah yang disampaikan oleh En. Amran pada minggu ini adalah mengenai "Wayang Kulit". Adakah kita semua tahu bahawa terdapat beberapa jenis wayang kulit yang berlainan antara satu sama lain sebelum ini? Jika tidak, kuliah yang saya ikuti ini dapat membantu. Sebelum ini, saya hanya pernah mendengar perkataan 'wayang kulit' sahaja, tetapi tidak pula mengetahui bahawa terdapat pelbagai jenis wayang kulit dan apakah sebenarnya wayang kulit itu. Namun, apabila sudah mengikuti kuliah, saya mendapat ilmu tentang wayang kulit dengan lebih mendalam.

Di awal permulaan kuliah, kami ditunjukkan dengan 3 buah video. Encik Amran menyuruh kami meneliti video-video yang dipertontonkan itu. Video tersebut mempunyai kaitan dengan kuliah minggu kedua iaitu mengenai 'soundscape'. Apabila meneliti video itu, saya mendapati video tersebut seolah-olah mempunyai persamaan dengan wayang kulit, tetapi telah diinovasikan ke dalam satu bentuk yang lebih kreatif. Saya merasa amat kagum!

Terdapat tiga objektif serta sasaran yang ingin dicapai dalam kuliah minggu keempat ini iaitu Jenis Wayang Kulit, Alat-alat Muzik Wyang Kulit dan juga Perbezaan Wayang Kulit.




Gambar di atas adalah antara contoh-contoh wayang kulit secara amnya. Namun, saya akan perincikan lagi jenis-jenis wayang kulit serta perbezaan yang ada dalam setiap satunya. Muzik Wayang Kulit ialah teater tradisional kuno Malaysia. Ianya pengkisahan tentang 'Dalang' dan juga bayang-bayang patung di atas kelir.

Pertama sekali, saya akan menyenaraikan beberapa ciri muzik wayang kulit. Ianya adalah muzik yang unik serta memerlukan keahlian yang khusus. Dalang dan panjaknya mesti menghafal lebih dari 35 buah lagu. Dalang juga harus mahir dalam hikayat serta berkemampuan melakonkan pelbagai watak. Kewibawaan dalang dipelihara utuh dan menjadi ikutan kepada masyarakat. Selain itu, kemahiran dalam melukis dan memahat patung wayang juga memerlukan kesabaran yang tinggi.

Terdapat 4 jenis wayang kulit iaitu Wayang Kulit Jawa, Wayang Gedek, Wayang Kulit Melayu dan Wayang Kulit Kelantan.
  1. Wayang Kulit Jawa : Dikenali sebagai Wayang Purwa yang berasal dari Indonesia. Ianya masih mengekalkan ciri wayang kulit asal serta dipersembahkan oleh orang keturunan Jawa di Johor & Selangor dan diiringi oleh Gamelan Jawa. Secara ringkasnya, isi cerita wayang ini adalah berdasarkan cerita Pendawa Jawa dan disampaikan dalam bahasa Jawa & diselitkan juga dengan dialek tempatan. Patung-patungnya menyerupai patung wayang kulit Kelantan. Perbezaannya hanyalah dari segi bentuk mata patung. Alat muzik membranofon dan juga Idiofon sahaja yang digunakan dalam wayang ini.
  2. Wayang Gedek : Wayang ini terdapat di Kawasan utara Semenanjung Malaysia iaitu Kedah & Perlis dan dikenali juga sebagai Nang Talung. Ianya menggunakan bahasa Thai dan disampaikan dalam longhat Siam dan dialek Melayu Kedah kerana ianya berasal dari Thailand. Wayang ini menggunakan patung kecil serta muka patung berada di posisi hadapan. Wayang ini berdasarkan Epos Ramayana-Ramakien serta dominan dengan pengaruh Siam. Isi ceritanya mempunyai persamaan dengan Nong Talung dan penerapan unsur-unsur tempatan. Alat muzik yang digunakan sama sahaja dengan wayang kulit Jawa, tetapi instrument serunai yang membezakan antara keduanya.
  3. Wayang Kulit Melayu : Ianya dipengaruhi oleh Wayang Purwa dari indonesia dan berkembang pada abad ke 19/20. Wayang ini dimainkan di Istana Patani. Bentuk patungnya mengikut stail Pulau Jawa yang boleh digerakkan kedua-dua belah tangan. Cerita juga disampaikan dalam bahasa Jawa dan diselitkan dialek Melayu tempatan. Alat muzik yang digunakan adalah rebab 2 tali, gendang ibu & anak, mong, canang, kesi dan gong.
  4. Wayang kulit Kelantan : Ianya berdasarkan Epos Ramayana. Watak Peran ialah Pak Dogol & Wak Long. Isi ceritanya adalah dalam Hikayat Seri Rama. Patungnya diukir dalam bentuk mengiring dan kebanyakannya berdiri di atas kenderaan. Bahasa yang digunakan ialah dialek Melayu Kelantan. Alat muziknya pula ialah sepasang geduk, sepasang gendang, sepasang gedumbak, serunai, canang, kesi & tetawak.
Jika diteliti, setiap wayang ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Saya berharap agar warisan ini tidak akan pupus ditelan zaman dan ianya harus dipelihara sebaik mungkin. Di sini, saya juga menyediakan 1 video wayang kulit yang telah diinovasikan menjadi sebuah animasi berbentuk kartun.



Sekian, terima kasih.

2 comments:

CHRISTINE on August 9, 2010 at 12:09 AM said...

Tahniah....ulasan yang ringkas dan senang difahami...

~.:s.h.u.e:.~ on August 11, 2010 at 5:10 AM said...

terima kasih christine..=)

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 SHUEZAKARIA Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template