Monday, August 23, 2010

MINGGU 6 : JURNAL REFLEKSI

MINGGU 6 : JURNAL REFLEKSI

Assalammualaikum w.b.t & salam 1 Malaysia...

Pertama sekali, saya ingin meluahkan rasa seronok dan gembira kerana masih diberi kesempatan untuk terus menunaikan ibadah puasa serta mengikuti kuliah pada minggu ini. Harapan saya agar semua pelajar akan merasa tertarik untuk mengikuti kuliah yang seterusnya. Diharapkan agar En. Amran akan terus memberikan input-input yang lebih supaya semua yang mengikuti kursus ini mendapat ilmu yang berguna di masa hadapan. Pada minggu ke- 6 ini, kuliah adalah berkaitan dengan Makyung & Kompang. Segala perincian maklumat yang saya peroleh akan saya sertakan di bawah ini. Diharapkan agar pengetahuan ini akan berguna kepada kita semua sebagai generasi muda negara.

MAKYUNG

Sejarah Makyung

Gambar: Makyung

Makyung adalah berasal dari Patani. Menurut Hikayat Patani iaitu pada zaman Kerajaan Melayu Lama, Makyung telah dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Kemudian, dari situlah ianya berkembang ke Kedah dan negeri-negeri yang lain. Selain tersebar luas di Semenanjung Malaysia, ianya juga tersebar hingga ke Medan dan juga Kepulauan Riau-Lingga di Indonesia. Pada masa itu, Kerajaan Melayu Lama adalah di bawah naungan Sultan Mohamad ke IV. Manakala di Kampung Temenggung, Kota Bahru pula, Tengku Ghaffar bertanggungjawab mengenai sistem latihan, muzik, dan juga kostum diperhalusi secara sistematik. Pada mulanya, Makyung merupakan salah satu tradisi istana, kemudian iainya bertukar menjadi tradisi rakyat atau Folk Theater.

PERSEMBAHAN MAKYUNG

i- Tujuan Ritual
Ianya dipersembahkan melalui permainan Main Puteri yang bertujuan untuk menyembuhkan penyakit. Persembahan tersebut juga adalah sebagai sembah guru. Selain itu, istilah aras panggung sama dengan aras tanah adalah bermaksud, permainan itu dibuat di tanah dan bukan di atas pentas.

ii- Tujuan Persembahan
Lantai panggung didirikan beberapa kaki dari atas tanah. Panggung ini mempunyai atap serta ruang berlakon adalah di tengah-tengah, bermakna penonton akan menyaksikan persembahan di sekeliling panggung tersebut. Manakala pemuzik dan pelakon yang mengambil peranan sebagai korus akan duduk di tepi lantai. Ianya juga dipanggil Theater In The Round.



CERITA MAKYUNG

Cerita asalnya adalah dari cerita rakyat yang bertajuk Dewa Muda. Terdapat kira-kira 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire. Ceritanya adalah dikisahkan melalui dialog, nyanyian, tarian dan diiringi oleh muzik vokal dan instrument. Pada abad ke-20, peranan utama dalam cerita ini dipegang oleh wanita kerana dikhuatiri permaisuri atau wanita lain jatuh hati jika watak tersebut dipegang oleh lelaki. Antara watak-watak yang terdapat di dalam cerita ini adalah:
  • Pakyung dan Pakyung Muda (Watak Utama)
  • Makyung dan Puteri Makyung (Raja Perempuan)
  • Peran Tua dan Peran Muda (Pengasuh)
  • Tok Wak (ahli nujum dan tukang)

LAGU MAKYUNG

i- Mengadap Rebab
Lagu ini merupakan lagu yang terpanjang yang mengiringi nyanyian dan tarian Pak Yung. Ianya juga merupakan salah satu simbol penghormatan kepada Rebab. Lagu ini juga bertujuan untuk mendatangkan semangat Makyung.

ii- Kijang Mas
Lagu ini dinyanyikan selepas lagu Mengadap Rebab. Ianya dinyanyikan oleh Kumpulan Korus dalam keadaan yang gembira. Lagu ini dinyanyikan oleh Pak Yung dan Mak Yung untuk menceritakan sesuatu pada Korus.

iii- Lagu Sindung
Lagu ini dinyanyikan oleh Pak Yung apabila ingin memberikan arahan kepada peran.

MODE SESEBUAH LAGU PERSEMBAHAN MAKYUNG

Ketika lagu Mengadap Rebab dimainkan, semua pelakon memberi hormat kepada alat muzik rebab. Lagu Ela pula adalah untuk menyampaikan cerita dan juga berita. Perlakuan Mengulit Raja Nak Tidur pula membangkitkan perasaan yang halus dalam diri. Jembar atau mengambul pula adalah untuk membangkitkan rasa sedih, Timang welu atau kijang Emas menunjukkan pergerakan berjalan, Sedayung Pakyung menunjukkan kuasa luar biasa yang bersifat kesaktian seperti mengubah atau menjelma rupa seseorang serta Sang atau Penyudah adalah untuk menyudahi sesuatu persembahan.

ALAT MUZIK MAKYUNG

Alat Muzik Utama: sepasang gendang, sepasang tetawak dan sebuah rebab. Tambahan alat: serunai, geduk dan canai.

Rebab

Gambar: Rebab

Fungsi Rebab adalah memainkan melodi utama. Alat Muzik ini tergolong dalam kategori Kordofon iaitu kelas kecil lute. Bentuknya adalah segi tiga iaitu badannya dibuat daripada kayu. Manakala muka badannya pula menggunakan kulit perut lembu. Bonggol kecil yang terdapat di badan rebab dipanggil susu yang diperbuat daripada lilin lebah yang berfungsi untuk meredam bunyi. Sebatang kayu tebal tanpa fret berfungsi sebagai leher. Bahagian bawahnya dipanggil 'kaki' dan bahagian atasnya dipanggil 'kecopong' (motif pokok rebung). Selain itu, terdapat 3 utas tali yang dibuat daripada logam akan ditarik dari kekuda yang dipanggil 'pacat' terus ke 'pemulas' untuk tujuan talaan. Laras talaan jeda adalah dalam Perfek ke-4 dan Perfek ke-5. Open string akan ditala mengikut jarak vokal penyanyi. Tali digesek dengan menggunakan tali nilon/tangsi (dulunya menggunakan sabut kelapa).

FORM ATAU BENTUK

Bentuk dan struktur lagu-lagu makyung ditentukan dalam sistem gongan ( pusingan-jangka masa tertentu yang ditentukan dengan pic-pic gong). Ianya dikawal oleh Tetawak. Sistem gongan adalah 8 bit, 16 bit dan 32 bit.

IRAMA

Menggunakan 4 Timbre (pak, duh, cak, ting). Gaya yang dimainkan adalah meningkah (interlocking). Hampir semua lagu Makyung bertempo agak perlahan.

Gambar: Bentuk Irama

MELODI

Dipersembahkan oleh seorang penyanyi dan alat rebab. Melodinya adalah yang berhias dan kompleks. Menghasilkan melodi pada waktu yang sama dengan tekstur heterofoni. Ianya sangat bergantung kepada kebolehan penyanyi dan pemain rebab untuk membuat variasi.

Gambar: Bentuk Melodi


Gambar: Tekstur Heterofoni


KOMPANG

Sejarah Kompang

Menurut pendapat pertama, bentuknya sama dengan hadrah yang menyerupai kompang yang terdapat di negara Arab. Manakala pendapat kedua pula menyatakan lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam Bahasa Arab, contohnya selawat memuji Rasulullah S.A.W. Permainan ini dibawa oleh pedagang Arab yang datng berdagang ke Nusantara. Ia digunakan untuk menarik perhatian pembeli terhadap perniagaan mereka. Permainan ini dipercayai menjadi ikutan masyarakat tempatan dan seterusnya berkembang sehingga kini. Manakala permainan kompang berkembang ke Tanah Melayu akibat imigrasi masyarakat Jawa.(Abdul Latif Ali, 1980:12).

ADAB PERMAINAN KOMPANG
  • Pakaian amat dititikberatkan
  • Tidak boleh melentangkan kompang
  • Tidak boleh melambung kompang
  • Tidak boleh meletakkan arah kulit muka kompang ke lantai

ALAT MUZIK KOMPANG

-Bahagian yang penting

Gambar: Kompang

PEMBUATAN MUZIK KOMPANG


FUNGSI KOMPANG
  1. Mengiringi aktiviti vokal seperti nyanyian solo atau kumpulan secara ensembel (nasyid, marhaban)
  2. Mengarak pengantin, kanak-kanak berkhatan, berkhatam Quran, & upacara rasmi yang melibatkan pembesar.
  3. Menjadi elemen permainan ensembel lain seperti orkestra, lagu etnik kreatif, cak lempong, cak lempong pacik dan gamelan.
  4. Untuk merangsang semangat pasukan yang bertanding, contohnya pasukan bola sepak bagi memeriahkan acara sukan serta membuat gimik sorakan.
  5. Pertandingan- paluan kompang & kompang formasi.

JENIS PERMAINAN KOMPANG



Terbahagi kepada beberapa jenis:
  1. Kompang Hadrah (negeri Perak)
  2. Kompang Johor/Jawa
  3. Kompang Eizhar (negeri Selangor)
  4. Kompang Kelalang (negeri Melaka)
Kompang boleh diperoleh dalam saiz yang berlainan mengikut umur tertentu. Antaranya:
  • 30cm-12 tahun & ke bawah
  • 32.5cm-13&14 tahun
  • 35cm-15 &16 tahun
  • 37.5cm & 40cm-Orang Dewasa
Gambar: Saiz-saiz kompang

TEKNIK PERMAINAN

Pegang kompang dengan sebelah tangan sementara sebelah tangan lagi memukulnya. Ianya boleh dimainkan samada duduk atau berdiri. Pada asasnya, kompang menghasilkan 2 bunyi iaitu 'pak' dan 'bung'. Pukulan 'pak' mestilah lebih berat daripada bunyi 'bung'. Bunyi 'pak' dihasilkan apabila bahagian tengah kompang dipalu dengan tapak tangan sambil jari tangan terbuka. Kekuatan bunyi adalah hasil daripada pukulan tapak jari. Untuk menghasilkan bunyi yang tepat, sentuh tapak ibu jari dan jari anak mendahului jari yang lain semasa memukul. Bunyi 'bung' dihasilkan apabila bahagian tepi permukaan kompang iaitu 1/3 daripada permukaan dipukul dengan jari. Manakala kesemua jari berkeadaan tertutup semasa membuat pukulan.


POSISI PEMAIN



JENIS PUKULAN/PALUAN

Terdapat 3 paluan digabungkan untuk menghasilkan paduan bunyi yang berharmoni. 3 kumpulan paluan tersebuat ialah Melalu, Meningkah & Menyilang. Fungsinya adalah kumpulan melalu memainkan rentak asas, pukulan menyilang memainkan rentak silihan (up beat) kepada pukulan melalu, dan kumpulan meningkah menjadi asas penghias rentak yang dimainkan paluan antara kumpulan Melalu & Menyilang.

BAHAGIAN PUKULAN/PALUAN

Setiap persembahan kompang terdiri dari tiga bahagian pukulan iaitu:
  • Pukulan 'mula' untuk memainkan sesebuah lagu
  • Pukulan lagu dan
  • Pukulan 'mati' untuk mengakhiri sesebuah lagu.
PENJAGAAN KOMPANG

-Kompang dalam simpanan seharusnya dikendurkan permukaannya. Sebelum memulakan permainan, permukaannya perlu ditegangkan dengan sedak. Kompang yang basah seharusnya dijemur sehingga kering supaya tahan lebih lama.
- Selain itu, kompang perlu diletakkan dengan berkeadaan muka kompang bertindan dengan permukaan lain dan disusun di rak atau almari yang sesuai. Ini untuk mengelakkan kerosakan muka kompang apabila ditindani oleh baluh kompang.

PENALAAN KOMPANG

-Bertujuan untuk meninggikan ton bunyi kompang dan menegangkan permukaannya dengan menggunakan sedak. Sedak boleh dibuat daripada rotan atau wayar plastik. sedak ditolak dengan kayu sedak di sekeliling bahagian dalam, di antara baluh dan belulang kompang.

RENTAK

i-Inang Asas



ii-Masri Asas




iii-Asli Asas


Saya amat seronok mengikuti kuliah kali ini kerana diberi kesempatan oleh En. Amran bermain kompang secara beramai-ramai. Semuanya terhibur dan sangat seronok kerana dapat merasai sendiri bagaimana cara untuk bermain kompang.

Sekian, terima kasih.







0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 SHUEZAKARIA Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template